suria

Suami Isteri Rakyat Iran Ditahan Bersama RM40 Juta Minyak Syabu

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya sepasang suami isteri rakyat Iran dan merampas minyak syabu bernilai RM40 juta dalam serbuan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata dalam serbuan pada 22 dan 23 Julai itu, polis turut merampas bahan membuat syabu termasuk minyak syabu selain peralatan lain memproses dadah.

Beliau berkata dalam serbuan pertama berdekatan sebuah restoran segera di Jalan Prima Kepong, polis menahan seorang lelaki Iran berusia 39 tahun pada pukul 8.50 malam.

"Polis menerima satu laporan daripada seorang ejen hartanah yang curiga dengan bau dari dalam sebuah rumah sewa yang diuruskannya dan mengesyaki rumah townhouse itu dijadikan makmal bagi menyimpan bahan dan memproses dadah.

"Polis kemudiannya bekerjasama dengan ejen itu bagi mengatur pertemuan ejen itu dengan suspek sebelum menahan suspek berdekatan restoran berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Muhammad Sabtu berkata hasil soal siasat ke atas suspek, polis menyerbu rumah di Sri Hartamas itu dan menemui sembilan tong plastik berisi cecair berwarna kehitaman disyaki minyak syabu seberat 72 gelen (327.6 liter) yang boleh memproses 200kg syabu.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa perkakas bagi memproses dadah seperti tabung uji, plastik untuk membungkus dadah, bahan cecair seperti methanol, alat-alat pembakar, bekas-bekas kosong dipercayai untuk memproses syabu serta beg-beg besar untuk membawa dadah ke luar negara.

Beliau berkata pada pukul 2.50 petang keesokan harinya, polis menahan isteri suspek itu, yang juga rakyat Iran berusia 34 tahun di rumah milik mereka di Sunway SPK Damansara.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah mewah dua tingkat berharga RM1.5 juta itu, polis merampas beberapa peralatan memproses dadah termasuk buku memproses syabu dan 'sealer' yang dipercayai berkait dengan memproses syabu," katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod dalam pasport pasangan itu, kedua-dua mereka adalah peniaga dan telah menetap di negara ini selama empat tahun, tetapi hasil siasatan terhadap mereka, mendapati kedua-duanya berada di negara ini selama sepuluh tahun.

Muhammad Sabtu berkata kediaman pasangan itu di Damansara dan dua kereta iaitu Proton Waja dan Perodua Kelisa disita kerana dipercayai dibeli dengan menggunakan wang hasil menjual syabu di sekitar Lembah Klang kira-kira tujuh bulan lepas.

Beliau berkata polis kini mencari seorang lagi lelaki yang dipercayai merupakan anggota sindiket berkenaan yang kini dipercayai bersembunyi di negara jiran.

Pasangan Iran itu kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 23 Julai bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain