suria

Penyiasat Persendirian Serah Afidavit Kepada SPRM

PUTRAJAYA: P. Balasubramaniam, saksi utama perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shariibuu, menyerahkan afidavitnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang Khamis.

Afidavit itu dihantar kepada pegawai SPRM oleh peguamnya Americk Sidhu, Manjeet Singh Dhillon dan Amarjit Sidhu.

SPRM pada awal Julai telah menyerahkan beberapa soalan yang perlu dijawab penyiasat persendirian itu dalam bentuk afidavit bersumpah mengikut Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010. Ia dilakukan selepas SPRM memutuskan untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi merekodkan kenyataan penyiasat persendirian itu.

Seorang daripada peguamnya iaitu Americk, menyifatkan pertemuan dengan pegawai SPRM pada Khamis sebagai menyenangkan.

"Mereka kelihatan bersungguh-sungguh mahu memastikan siasatan berhubung perkara ini disiapkan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan afidavit berkenaan di pejabat SPRM di sini Khamis.

Beliau berkata Balasubramaniam mengambil masa tiga hari untuk menjawab kesemua 52 soalan yang dikemukakan, dengan kehadiran peguamnya yang lain di London.

"Saya yang menaip semula jawapannya," kata Americk.

"Semua soalan dijawab, malah kami telah menambah begitu banyak maklumat walaupun tidak diminta oleh SPRM. Dengan maklumat tambahan itu, kami berharap kes ini akan dapat ditutup," katanya.

Americk berkata maklumat tambahan itu adalah berkaitan dengan pembayaran yang dibuat kepada Bala.

"Saya rasa inilah maklumat (pembayaran) yang mereka tidak peroleh sebelum ini. Maklumat lain mudah didapati."

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Balasubramaniam pulang untuk memberi keterangan, Americk berkata, "Saya rasa SPRM tidak akan berbuat demikian memandangkan siasatan hampir selesai."

"Mungkin ada beberapa soalan yang SPRM ingin kemukakan kepada Bala selepas membaca jawapannya dalam afidavit ini, namun saya boleh hubungkan mereka dengan mudah. Tiada masalah."

Americk bagaimanapun berkata jawapan Balasubramaniam dalam afidavit berkenaan tidak seharusnya digunakan di mahkamah kerana pihaknya hanya ingin membantu SPRM menyiasat kes itu.

"Jika perkara ini dibawa ke mahkamah, memang Balasubramaniam perlu hadir untuk memberi keterangan."

Mengenai sama ada jawapan Bala boleh disiarkan oleh media, Americk berkata "Jawapan dalam afidavit itu mungkin bukan satu rahsia, tetapi saya tidak nampak sebarang sebab untuk mendedahkannya pada ketika ini."

"Saya rasa, adalah lebih baik kita biarkan SPRM melengkapkan siasatan mereka."

Kepada soalan lain, peguam itu berkata Balasubramaniam memang berhasrat untuk pulang ke Malaysia.

"Beliau tiada masalah...dan tidak akan teragak-agak jika keselamatannya terjamin," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain