suria

Malaysia Tuan Rumah Persidangan Belia Sedunia Bermula 14 Ogos

PUTRAJAYA: Malaysia akan menganjurkan Persidangan Global Model United Nations 2010 (GMUN 2010) yang melibatkan 1,000 belia dari negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Azlina Fadzlon Mohd Amin, berkata persidangan itu akan berlangsung selama lima hari bermula 14 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau memberitahu Bernama bahawa isu-isu yang dibincangkan adalah berkaitan budaya, globalisasi dan perubahan keadaan sosioekonomi masyarakat dunia.

Peserta terdiri mereka yang berumur antara 18 dan 24 tahun yang dipilih daripada kalangan pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi serta persatuan belia dari 192 negara anggota PBB.

Malaysia akan menghantar 50 wakil ke persidangan kali ini, kata Azlina Fadzlon. GMUN yang pertama berlangsung di Geneva pada Ogos tahun lepas.

GMUN bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai peranan yang dimainkan oleh PBB di peringkat dunia.

Ia merupakan saluran untuk generasi belia mengutarakan idea serta penyelesaian alternatif kepada isu-isu yang dibincangkan pada Perhimpunan Agung PBB.

Hasil daripada Persidangan GMUN, satu resolusi akan dicapai untuk dibentangkan kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain