suria

PM Minta Wakil Rakyat Jalankan Tugas Penuh Komitmen

KOTA KINABALU: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN)diminta supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanggungjawab wakil rakyat terhadap kawasan masing-masing akan meyakinkan dan mengesahkan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kalau kita ingat tanggungjawab kita terhadap rakyat, alangkah cerianya sekiranya semua negeri dikuasai BN," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2010 di sini, malam Sabtu.

Najib berkata, wakil-wakil rakyat menghargai peranan isteri masing-masing dalam menyokong dan memberi semangat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Isteri mereka merupakan sendi kekuatan BN sekiranya wakil-wakil rakyat dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi sehingga disayangi oleh rakyat, katanya.

Beliau berkata isteri merupakan 'rakan perniagaan' suami dalam rumahtangga yang memastikan ruamhtangga diurus dengan baik agar suami dapat melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik dan cemerlang.

Sementara itu, Najib berkata Badan Amal dan Kebajikan Negeri yang dianggotai oleh isteri wakil-wakil rakyat juga berperanan dalam memperjuangkan isu-isu sosial bagi memastikan matlamat kerajaan dalam usaha pembangunan tercapai.

Beliau berkata badan-badan berkenaan boleh memilih isu untuk diperjuangkan seperti pembasmian kemiskinan, pemuliharaan alam sekitar dan kemasyarakatan.

"Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang berpengaruh, anda boleh memilih mana-mana isu sosial sebagai antara usaha membantu kerajaan.

"Saya percaya isteri-isteri dalam badan amal ini mampu memainkan peranan ini dan suami amat menghargai sumbangan mereka," katanya.

Najib turut berbangga dengan penganjuran PTIWRBNM di negeri ini dengan jayanya.

Katanya sebagai tuan rumah, Sabah telah meletakkan penanda aras baru dan tinggi dalam penganjuran program itu untuk dicontohi negeri-negeri lain apabila menjadi tuan rumah kelak.

Beliau berkata ketegasan tuan rumah Sabah dalam memastikan peserta menuruti peraturan program juga berjaya memupuk semangat setiakawan dan kesukanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain