suria

Kementerian Kesihatan Ingin Tubuh Pasukan Kumpul Organ Setiap Negeri

BENTONG: Kementerian Kesihatan berhasrat menubuhkan skuad mengumpulkan organ derma di peringkat negeri bagi membantu pasukan sedia ada di Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kadar pengumpulan yang terlalu perlahan daripada negeri-negeri terbabit sedang diteliti pihaknya.

"Hanya ada satu pasukan yang mengumpulkan organ, terletak di Hospital Kuala Lumpur. Oleh itu, jika organ perlu dipungut daripada penderma di Pahang, pasukan itu terpaksa terbang ke sana dengan helikopter," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Kesihatan Bentong di sini, Ahad.

Menurut Liow, kementerian mengkaji sistem untuk menubuhkan pasukan di setiap negeri bagi mempercepatkan proses tersebut.

"Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah (Tan Sri Dr Ismail Merican) untuk menjalankan kajian dan mengumpulkan laporan mengenai kaedah perlaksanaannya," kata beliau.

Menurutnya, pasukan berkenaan amat penting bagi membantu pakar dalam bidang masing-masing untuk mengambil organ yang berbeza.

Liow menambah, pendermaan buah pinggang menduduki senarai teratas sebagai organ paling dikehendaki diikuti jantung dan hati.

Katanya lagi, pasukan di peringkat negeri mampu mengurangkan jangka masa menunggu terutama di kalangan pesakit kronik yang menanti penderma bersesuaian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain