suria

Peralatan Komputer Tiruan Bernilai RM320,000 Dirampas

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas beberapa peralatan komputer tiruan bernilai kira-kira RM320,000 di dua premis di Kepong di sini semalam.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Kuala Lumpur Othman Nawang berkata, dalam serbuan pertama, pemilik premis lelaki berumur 57 tahun turut ditahan.

"Dalam operasi pukul 12 tengah hari itu juga, kami merampas tiga unit dakwat mesin pencetak komputer tiruan berjenama dan 20 unit packaging model tiruan dalam premis perniagaan tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, pada Khamis.

Othman berkata, serbuan kedua di sebuah stor yang dijadikan tempat simpanan peralatan itu pula, 800 unit dakwat mesin pencetak komputer, 500 unit toner dan 600 unit ribbon komputer yang merupakan barang tiruan jenama terkenal di pasaran di rampas.

"Siasatan awal mendapati kebanyakan barangan tersebut dijual pada harga lebih kurang sama dengan barangan asli yang terdapat di pasaran, katanya.

Sementara itu, seorang wanita tempatan berusia 23 tahun ditahan kerana mencetak sebanyak 2500 unit VCD dan DVD haram bernilai RM25,000 di kedai miliknya di Pudu kira-kira 6 petang pada Isnin lepas.

Dari awal tahun ini hingga semalam (Rabu), KPDNKK mencatatkan 77 rampasan bernilai lebih setengah juta ringgit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain