suria

Peranan GLC Perlu Disemak Semula, Kata Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu disemak semula bagi melihat sama ada ia masih melaksanakan tujuan asal penubuhannya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita perlu tahu. Jelas sekali ramai orang tidak gembira dengan apa yang dilakukan oleh GLC. Kita perlu melihat sama ada GLC sudah menyimpang dari tujuan dan matlamat penubuhannya atau tidak."

"Kita kelihatan seperti meniru Singapura pada setiap masa," katanya kepada pemberita selepas siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai "Forum Rancangan Malaysia Ke-sepuluh Kita: Siri Ketiga."

Katanya, dulu, tidak ada GLC. Khazanah dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) ditubuh untuk menjaga saham Bumiputera.

"Bila beri saham kepada Bumiputera, mereka jual saham untuk keuntungan. Jadi, kita tubuh PNB untuk menyimpan saham dalam satu badan untuk mengekalkan dalam bentuk saham amanah.

"Khazanah pula ditubuh untuk simpan segala saham Bumiputera yang tidak dapat dibeli oleh Bumiputera dan untuk menentukan saham yang diperuntukkan untuk Bumiputera tidak hilang.

"Pegangan Khazanah yang menyebabkan angka ekuiti 20 peratus Bumiputera menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, mengenai Wawasan 2020, katanya ia sukar dicapai jika diambil kira "masalah dalaman dan luaran."

Bagaimana pun, matlamatnya boleh dicapai jika ditukar strategi.

"Kena peras otak untuk dapatkan idea bagi meningkatkan pertumbuhan negara untuk mencapai Wawasan 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain