suria

Zainal Rampak Gagal Saman Fitnah RM150 juta Terhadap The Sun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM150 juta oleh bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Zainal Rampak terhadap 'The Sun' dan dua lagi defendan berhubung sebuah artikel di akhbar itu, 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menolak permohonan itu dengan kos dan memutuskan bahawa rencana bertajuk 'Shut Up or Step Down, Zainal told' pada 6 September, 2000 itu adalah ulasan adil dan perlindungan bersyarat.

Zainal memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 dengan menamakan The Sun Media Corp, ketua pengarangnya Ho Kay Tat, bekas wartawan K. Ravindran, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengeluar Produk Mineral Bukan Logam (NMEU) dan bekas setiausaha NMEU S. Bala Somahsundram sebagai defendan.

Zainal, bekas senator, menuntut RM50 juta dari setiap defendan. Bagaimanapun, NMEU dan Bala digugurkan sebagai defendan pada 2005.

Dalam penghakimannya, Nik Hasmat berkata pihak defendan mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk melaporkan kebenaran.

Menurutnya, tiada niat jahat atau dendam oleh Ravindran terhadap plaintif (Zainal) dan artikel, yang menyentuh Skim Anuiti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), itu tidak berunsur fitnah tetapi ditulis dengan mengambil kira kepentingan awam.

Nik Hasmat berkata plaintif sepatutnya bertanggungjawab terhadap sembilan juta pekerja dan oleh itu artikel itu diterbitkan kerana mengambil berat nasib pekerja.

"Apabila saya melihat kelakuan plantif di mahkamah...kadang-kadang dia bersifat mengelak dan nampak tidak mengetahui isu itu.

"Selepas menelitinya, terdapat alasan munasabah kenapa pekerja berasa mereka tidak diwakili secara berkesan dan kandungan artikel yang mempersoalkan integriti pada hakikatnya adalah satu kebenaran," katanya.

Oleh itu, plaintif telah gagal membuktikan kes terhadap defendan, katanya.

Pihak defendan diwakili Nithin Nadkarni dan Kokila Vani Veloo manakala Zainal diwakili oleh peguam D. Kalai.

Sementara itu, Ravindran, 70, ketika ditemui, berkata keputusan itu adalah satu kejayaan kepada semua wartawan.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada akhbar itu kerana mendedahkan Skim Anuiti KWSP serta menyusul isu itu bagi menyedarkan pembaca mengenai keadaan sebenar.

Bagaimanapun, Zainal, 70, enggan mengulas keputusan itu. -BERNAMA

Artikel Lain