suria

Kerajaan Sedia Bantu Suhakam Siasat Pembinaan Istana Negara - Shaziman

BACHOK: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kementerian itu bersedia membantu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) masuk ke tapak pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur bagi menyiasat dakwaan buruh binaan di tapak itu diberi layanan buruk dan tidak dibayar gaji.

Beliau berkata bagaimanapun pihak suruhanjaya itu perlu memaklumkan secara rasmi kepada kementerian berkenaan terlebih dahulu.

"Kementerian tiada sebarang masalah bagi membantu suruhanjaya itu kerana siasatan yang dilakukan akan membawa kebaikan kepada semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bachok, di sini pada Rabu.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita semalam mengenai beberapa anggota Suhakam termasuk Pesuruhjayanya James Nayagam tidak dibenarkan masuk ke tapak pembinaan Istana Negara bagi menyiasat dakwaan pekerja asing diberi layanan buruk dan dikatakan tidak menerima gaji bagi tempoh tiga bulan.

Laporan itu menyebut Suhakam telah menghantar surat kepada pemaju projek terbabit untuk memohon kebenaran masuk ke tapak pembinaan itu untuk menjalankan siasatan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Lawatan ke tapak projek tersebut dilakukan Suhakam selepas sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 27 Jun lalu melaporkan mengenai layanan buruk yang diterima oleh pekerja asing di tapak pembinaan itu.

Mengulas lanjut, Shaziman berkata tapak pembinaan memang di bawah seliaan kontraktor utama dan perlu minta kebenaran untuk masuk.

Mengenai dakwaan kontraktor projek terbabit mengambil pekerja asing tanpa permit, Shaziman berkata kesemua pekerja asing yang diambil oleh kontraktor utama memiliki dokumen dan permit kerja yang sah.

Beliau juga berkata berdasarkan laporan awal yang diterima daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kesemua pekerja di tapak itu menerima gaji seperti yang ditetapkan. -BERNAMA

Artikel Lain