Perginya Omar Ong Yoke Lin, Perintis Perikatan - Semasa | mStar

Perginya Omar Ong Yoke Lin, Perintis Perikatan

KUALA LUMPUR: Dengan kembalinya ke Rahmatullah Tun Omar Ong Yoke Lin hari ini, Malaysia kehilangan seorang pejuang kemerdekaan dan anggota terakhir kabinet pertama negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Omar, 92, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di sini pada 8.15 pagi tadi dan jenazah dikebumi di Makam Pahlawan.

Allahyarham merupakan seorang daripada pengasas MCA dan pada 1952, dan bersama-sama Datuk Yahya Razak dari Umno, membuka jalan ke arah pembentukan Perikatan MCA-Umno yang membawa kepada kelahiran gabungan parti pelbagai kaum dan pelopor kepada Barisan Nasional yang terus memerintah negara sehingga hari ini.

"Ong Yoke Lin dan Datuk Yahayalah yang memutuskan untuk membentuk sebuah perikatan bagi bertanding pada pilihan raya ini," kata almarhum Tunku Abdul Rahman dalam bukunya pada 1977 bertajuk "Looking Back", bagi mengimbas pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 ketika negara masih di bawah pemerintahan British.

Perikatan itu, yang memenangi sembilan daripada 12 kerusi pada pilihan raya itu, kemudiannya disertai MIC.

Omar yang merupakan Ketua MCA Selangor, kemudian menjadi Naib Presiden MCA dan anggota Parlimen Ulu Selangor.

Beliau adalah antara empat anggota parti Perikatan yang menggubal Perlembagaan Malaya ketika itu di London pada April 1957 sebelum kemerdekaan pada Ogos tahun yang sama.

Pada 1961, beliau mengetuai delegasi Malaya ke Sarawak bagi membincangkan pembentukan Malaysia dan merupakan seorang daripada wakilyang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada September 1963.

Beliau diberikan jawatan Menteri Pos dan Telekomunikasi oleh Tunku Abdul Rahman dalam barisan kabinet 10 anggotanya pada 1955 yang turut melibatkan tokoh terkemuka seperti Tun Abdul Razak, Tun V.T.Sambathan, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun H.S.Lee.

Antara 1956-1957, beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dan dalam kabinet pertama selepas kemerdekaan, Omar diberi portfolio Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial.

Beliau berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dan Kebajikan Sosial dari 1959 hingga 1962 serta menteri tak berportfolio (1962-1973).

Pada Mei 1962, Omar berlepas ke Amerika Syarikat bagi berkhidmat sebagai Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi tempoh 10 tahun sehingga 1972.

Beliau berkhidmat dan bersara presiden Dewan Negara antara 1973 dan 1980.

Selepas meninggalkan kerajaan, Omar memegang beberapa jawatan tinggi di sektor swasta termasuk sebagai Pengerusi Esso Malaysia Bhd, Malaysian Oxygen Bhd dan OYL Industries Bhd.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 23 Julai 1917, Omar mendapat pendidikan di Victoria Institution di mana beliau bertemu Yahya.

Beliau lulus peperiksaan matrikulasi Universiti London pada 1934.

Omar, yang memeluk Islam pada 1961, dianugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran "Tun" pada 1979.

Beliau terlibat secara aktif dengan kerja kebajikan antaranya sebagai Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan St John's Ambulans, presiden Yayasan Jantung Malaysia dan naib presiden Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain