suria

Gara-Gara Rasuah RM100, Jurujual Didenda RM10,000

KUALA TERENGGANU: Gara-gara cuba memberi rasuah RM100 kepada anggota polis bagi mengelak saman trafik, seorang jurujual hari ini didenda RM10,000 dan penjara 14 hari oleh Mahkamah Seksyen di sini.

Chew Meow Boon, 27, dari Sungai Siput, Perak, mengaku bersalah cuba menyogok Koperal Alias Mohamad supaya membatalkan saman pada pukul 2.30 petang, 21 November, 2009, di Pondok Polis Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Mengikut fakta kes, pada pukul 2.10 petang pada hari kejadian, tertuduh yang memandu kereta Proton Waja telah memasuki laluan khas untuk bas sahaja.

Ekoran itu, Alias, yang merupakan pegawai sukeralawan polis yang ketika itu sedang meronda bersama tiga lagi anggota polis, telah menghampiri tertuduh dan menerangkan kepadanya tentang kesalahan yang dilakukan.

Dia kemudian telah dibawa ke pondok polis di situ untuk urusan kompaun dan ketika surat saman sedang ditulis tertuduh telah meletakkan dua keping not RM50 di atas meja di hadapan Alias dengan alasan sebagai duit kopi untuk membatal saman.

Kejadian itu telah disaksikan oleh tiga lagi anggota polis sukarelawan lain dan berikutan itu, tertuduh telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu sebelum dibawa ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu untuk siasatan lanjut.

Pertuduhan dilakukan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh manakala pendakwaan dilakukan oleh Pengawai Pendakwa SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang peniaga kedai VCD mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba memberi suapan RM1,000 kepada seorang penolong pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri.

Ouo Mau Lok, 40 didakwa memberi suapan itu kepada Mohd Hashim Mat Daud pada pukul 2 petang, 22 April lalu, supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan cetak rompak mengikut Akta Hakcipta 1987 (Akta 332).

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Hakim Che Mohamad Zulkifly kemudian menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain