suria

Mereka Dianiaya: Buruh Asing Bina Istana Negara Tidak Dibayar Upah

KUALA LUMPUR: Ramai pekerja asing yang diambil untuk bekerja di tapak pembinaan Istana Negara yang bernilai RM800 juta mendakwa mereka tidak dibayar upah sejak tiga bulan lalu, selain perlu bekerja tujuh hari seminggu.

Hidup dalam ketakutan dan patah semangat, pekerja-pekerja terbabit mengatakan bahawa mereka dieksploitasi dan ditipu oleh majikan dengan cara menahan upah gara-gara kebanyakan mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Mereka ini terdiri daripada lebih 1,000 pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam yang digaji oleh lebih 130 subkontraktor yang terlibat dengan projek pembinaan istana di Jalan Duta.

Kebanyakan pekerja terbabit tinggal di rumah kongsi atau di rumah panjang berhampiran tapak pembinaan berkenaan.

Akhbar The Sunday Star dalam laporan eksklusifnya hari ini menyebut, telah menerima banyak panggilan dan aduan mengenai perkara tersebut dan telah menghantar para wartawannya untuk menjalankan siasatan di tapak projek.

Hasilnya mereka telah mendapati para pekerja kontrak di tapak projek berkenaan mengadu ada di antara majikan mereka mengugut untuk menelefon polis apabila mereka berterusan meminta upah masing-masing.

Sebahagian pekerja pula mendakwa mereka sering diganggu oleh polis dan pegawai Rela dengan tindakan merampas barang milik mereka seperti telefon bimbit, rokok dan minuman ringan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk S.Subramaniam ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengarahkan Jabatan Buruh untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan segera.

Seorang pekerja Indonesia, Punawi, 32 berkata dia tidak dibayar upah selama lima bulan dan sudah kekeringan wang untuk makan.

"Saya hanya makan sehari sekali, itu pun kerana pemilik kedai makan membenarkan saya berhutang. Permit kerja saya telah tamat tempoh dan saya tiada RM3,000 untuk memperbaharuinya," kata pekerja kontrak itu.

Jatim, 37, pula berkata, majikannya akan menahan gaji selama tiga hingga empat bulan dan hanya membayar sebulan gaji sahaja apabila diminta.

Ada di antara majikan, katanya yang akan meminjamkan RM50 hingga RM100 seminggu kepada pekerja, membuatkan mereka terus berhutang.

Sementara itu, kontraktor utama projek terbabit, Maya maju Sdn Bhd ketika dihubungi menjelaskan bahawa membayar upah pekerja adalah tanggungjawab subkontraktor.

Pengurus projek, Abdul Razak Yunus berkata pihaknya telah membayar hasil kerja kontraktor-kontraktor terbabit tepat pada masanya supaya dapat membayar upah pekerja.

Peguam hak asasi kemanusiaaan N.Surendran pula berkata, perkara seperti ini berlaku kerana pekerja asing ini 'terikat' dengan majikan mereka yang memegang dan menangguhkan pasport mereka.

Katanya, jika ada di antara pekerja yang bertanyakan hal ini kepada majikan mereka, mungkin mereka akan diberhentikan kerja dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing sedangkan mereka telah menghabiskan banyak wang untuk datang bekerja di sini.

"Kebanyakan mereka terdesak untuk mendapatkan wang untuk dihantar kepada keluarga di kampung. Bimbang diusir, mereka terpaksa berterusan hidup seperti dalam keadaan sekarang," katanya.

"Dan mereka telah diletakkan dalam situasi yang sangat tegang dan serba salah. Jika buat aduan, majikan akan memberhentikan kerja dan menghantar mereka pulang. Jadi, mereka tiada perlindungan.

"Kesudahannya mereka tiada tempat untuk mengadu sebab itulah mereka masih berterusan hidup seperti ini," katanya.

Artikel Lain