suria

Bekas Pengarah Hadapi Tuduhan Tipu, Pecah Amanah RM24 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah Syarikat LFE Corporation Berhad hari ini berhadapan dengan sembilan tuduhan termasuk menipu dan pecah amanah pembelian saham yang bernilai RM24 juta yang didakwa dilakukan tiga tahun lalu.

Selain itu, tertuduh J.R. Alan Rajendran, 53, yang mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan turut didakwa kerana mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Tertuduh didakwa telibat dalam penipuan dengan menggunakan wang milik syarikat berjumlah RM9 juta sebagai bayaran pembelian saham sedangkan wang itu yang berada dalam akaun bank anak syarikat, LFE International Limited bukan untuk kegunaan tersebut.

Dia juga menghadapi dua lagi pertuduhan kerana didakwa mengemukakan dua pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 Jun 2007.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan serupa yang dilakukan antara 4 Januari 2007 dan 28 Februari 2008 bagi tempoh berakhir 30 September dan 31 Disember 2007 di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di sini.

Tiga lagi pertuduhan terhadap tertuduh adalah bagi kesalahan bersubahat dengan Chin Soong Jin, 43, dan Liew Kiam Woon, 47, untuk menipu EON Bank Berhad bahawa permohonan oleh LFE Engineering Sdn Bhd adalah belian sah daripada Contour Trade Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sedangkan dia tahu bahawa pembelian itu palsu dan mendorong EON Bank untuk melepaskan wang bernilai RM2,168,000 kepada Contour Trade.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan yang sama sehingga mendorong EON Bank melepaskan RM1.8 juta kepada satu lagi syarikat, iaitu Right Meridian.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa melakukan pecah amanah wang bernilai RM9,990,000 milik LFE Corporation antara 11 Januari 2007 dan 16 Januari 2007 di Standard Chartered Bank Berhad di nombor 2, Jalan Ampang, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti, Choong Long Meng dan Zul’aida Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N.Sivanathan.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S.M Komathy mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta yang ditawarkan pihak pendakwaan dengan deposit RM500,000 dan memerintahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Lain