suria

Rogol Budak: Pemandu Lori Dipenjara 12 Tahun, 4 Sebatan

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori diarahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah merogol seorang remaja bawah umur di dalam tandas awam sebuah tasik di sini, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan turut memerintahkan tertuduh, Norirwanshah Mat Noor, 27, disebat sebanyak empat kali bagi kesalahan tersebut.

Tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak didapati bersalah merogol mangsa yang berusia 14 tahun pada pukul 6 pagi, 30 Disember 2004.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas awam Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hasbi pada penghakimannya berkata, mahkamah perlu memberi jaminan kepada masyarakat bahawa undang-undang wujud di negara ini dan mereka yang terlibat akan diberi hukuman setimpal.

“Mahkamah harap hukuman dapat memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak terlibat dengan jenayah di masa depan dan semoga kamu dapat memperbaiki diri,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hasbi turut membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Bagi tujuan itu, beliau menaikkan jaminan tertuduh daripada RM5,000 kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap Sabtu minggu kedua dan keempat sehingga selesai rayuan.

Berdasarkan keterangan, mangsa dan rakan-rakannya yang duduk di pondok taman tasik berkenaan sehingga pukul 5.30 pagi dihampiri oleh tertuduh dan seorang rakan subahat.

Tertuduh kemudiannya menawarkan diri untuk menghantar mangsa pulang ke rumah atas alasan ayah mangsa sedang mencarinya.

Bagaimanapun, mangsa tidak dihantar pulang sebaliknya dibawa ke tandas dan dirogol.

Artikel Lain