suria

Kerajaan BN Tetap Adil Kepada Semua Kaum - Najib

BAGAN DATOH: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan prinsip keadilan sosial yang berteraskan semangat dan prinsip 1Malaysia yang berlandaskan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Perdana Menteri berkata, berlandaskan prinsip berkenaan, BN perlu berlaku adil kepada semua kaum di negara ini yang mana ia juga selaras dengan tuntutan agama Islam itu sendiri.

"Sebagai seorang pemimpin saya mesti bersikap adil kepada semua kaum dan saya akan pastikan perkara ini menjadi keutamaan dalam kerajaan BN," katanya ketika berucap di majlis mesra rakyat bersama masyarakat Cina di perkampungan nelayan di Bagan Sungai Tiang, dekat sini, hari ini.

Sempena majlis itu, Najib menyerahkan lesen penempatan sementara (TOL) untuk tempoh 10 tahun kepada 370 penerima yang mendiami kawasan itu sejak 50 tahun lalu.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM400,000 kepada lapan perkampungan nelayan di kawasan parlimen Bagan Datoh bagi melaksanakan projek kecil dengan kos RM50,000.

"Di bawah kepimpinan kerajaan BN, kita akan membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar sesuai dengan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh 10 tahun lagi," katanya.

Pada majlis sama, Najib turut menerima memorandum nelayan yang disampaikan oleh Ketua MCA Bahagian Bagan, Datoh Ang Kim Cheong, bertujuan memohon melonggarkan Akta Perikanan dan menghadkan pukat tunda.

Sementara itu, sempena tinjauan mesra beliau ke Hutan Melintang pula, Perdana Menteri merasmikan Dewan Sanmarka Penduduk India yang bernilai RM1 juta selain meluluskan RM500,000 untuk peruntukan penyelenggaraan bangunan.

Najib, dalam ucapannya pada majlis itu, sempat menyuarakan harapannya supaya masyarakat India di Hutan Melintang terus memberi sokongan padu kepada BN bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan dapat dirampas semula daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum akan datang.

"Dengan kembalinya DUN Hutan Melintang kepada BN akan memudahkan lagi kerajaan BN menyalurkan bantuan untuk rakyat di kawasan ini," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung; dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain