suria

Pilihan Raya Lebih Awal Tidak Perlu: Shafei Apdal

KUALA KRAI: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafei Apdal berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu mengadakan pilihan raya umum ke-13 lebih awal atau dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata Umno tidak melihat pilihan raya umum perlu diadakan lebih awal hanya kerana berdasarkan sokongan dan kepercayaan rakyat yang meningkat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, pilihan raya bukan semata-mata dilihat untuk memastikan kemenangan parti, tetapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian, seperti pentadbiran kerajaan dan penyusunan jentera parti.

"Mungkin bagi parti pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa kerana mereka merasakan mereka boleh memang, tanpa memikirkan aspek lain yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Krai di sini, hari ini.

Mohd Shafei yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa parti itu bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa dari sekarang.

Bercakap kepada pemberita di Tumpat, Rabu lepas, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Mohd Shafei berkata, kerajaan tidak akan melakukan sesuatu atas desakan mana-mana pihak, terutama parti pembangkang yang melihat cadangan itu untuk kepentingan parti mereka tanpa memikirkan lebih jauh dari itu.

Menurutnya, sebagai parti pemerintah, Umno bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya kerana parti sentiasa diletakkan dalam keadaan bersedia.

"Yang penting, kita perlu meneliti banyak perkara, bukan sekadar memastikan parti menang dalam pilihan raya, tetapi lebih jauh dari itu, iaitu memastikan pentadbiran negara dan pengusunan jentera kerajaan dan parti berjalan lancar.

Mengenai daftar pemilih, Mohd Shafei mengarahkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) meningkatkan usaha mendaftar lebih 600,000 orang sebagai pemilih selepas gerakan pemutihan dalam parti dijalankan Umno baru-baru ini.

Beliau yakin masih ada 60,000 anggota Umno, terutama golongan muda yang tidak dapat dikesan status mereka selepas gerakan pemutihan parti itu dijalankan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain