suria

Pendengaran Rayuan Anwar Berhubung Kenyataan Mohd Saiful Pada 25 Jun

PUTRAJAYA: Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung akses kepada kenyataan Mohd Saiful Bukhari Azlan, ditetapkan pendengarannya di Mahkamah Rayuan, Jumaat depan.

Seorang daripada peguam Anwar, S.N.Nair ketika dihubungi, berkata mereka dimaklumkan mengenai tarikh pendengaran itu oleh Pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.

Anwar, 62, membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mei menolak permohonannya mendapatkan kenyataan Mohd Saiful.

Beliau mahu pendakwaan memberikan kenyataan saksi Mohd Saiful, kerana beliau mendakwa bahawa terdapat perbezaan antara testimoni Mohd Saiful dan tuduhan liwat yang dibuat terhadap Anwar.

Pembelaan berpendapat bahawa Mohd Saiful telah menyebut bahawa dakwaan liwat berlaku tanpa kerelaan tetapi Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, hubungan seksual atas kerelaan.

Perbicaraan itu akan bersambung semula pada 14 Julai.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. Dia menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain