suria

Guru Rugi RM180,000, Kediaman Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Seorang guru sebuah sekolah antarabangsa di sini mengalami kerugian hampir RM180,000 apabila kediamannya di Jalan Kasturi, Bukit Beruntung, Selangor dipecah masuk oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, suspek memecah masuk kediaman itu ketika guru lelaki itu bersama lapan lagi anggota keluarganya sedang nyenyak tidur.

"Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu tidak disedari mangsa kerana kesemua ahli keluarganya sedang tidur. Suspek masuk dengan memecahkan pintu hadapan rumah mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah terbabit terdiri daripada empat ke enam orang individu yang berumur lingkungan 20 hingga 30-an.

Katanya, tiga daripada empat suspek itu menutup mulut dengan menggunakan sapu tangan bagi mengelakkan wajah mereka dicam. Dua lagi rakan suspek menunggu dalam kereta di luar rumah mangsa.

"Suspek kemudian mengikat tangan mangsa dan adik lelakinya yang berumur 20 tahun dengan kain dan turut mengugut ahli keluarga (mangsa) yang lain dengan parang sebelum melarikan barang berharga milik keluarga itu," katanya.

Antara barang berharga yang dilarikan suspek termasuk dua buah kereta iaitu jenama Hyundai Accent dan Ford Focus, tiga buah telefon bimbit, barang kemas bernilai RM5,000 serta wang tunai sebanyak RM2,000 yang kesemuanya bernilai hampir RM180,000.

"Bagaimanapun tiada mangsa yang cedera dan kereta jenama Hyundai itu berjaya ditemui semula di kawasan berdekatan.

"Polis masih lagi mengesan dan mengenal pasti identiti kesemua suspek berdasarkan cap jari dan juga kereta yang digunakan mereka semasa melakukan jenayah ini," kata Norel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain