suria

Dua Pelajar Kolej Swasta Dipercayai Samseng Jalan Raya Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua pelajar kolej swasta dan seorang penghantar surat dipercayai samseng jalan raya ditahan dalam satu sekatan polis setelah dikesan memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya.

Ketiga-tiga mereka berumur antara 18 hingga 20 tahun itu -- seorang memandu kereta dan dua lagi menunggang motosikal masing-masing -- ditahan dalam Ops Samseng Jalanraya yang diadakan polis di Jalan Gereja dan sekitar pusat bandar raya awal pagi ini.

Kereta Proton Putra dan dua motosikal yang terlibat turut disita, kata Ketua Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur Asisten Supritendan (ASP) Azmi Wahid yang menyertai operasi itu kepada pemberita di sini hari ini.

Azmi berkata dalam operasi yang bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi itu sebanyak 185 buah motosikal dan kereta diperiksa.

Sebanyak 106 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dalam operasi itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain