suria

Cadangan Ubah Usul Judi Pemuda PAS Ditolak

KOTA BARU: Dewan Pemuda PAS menolak cadangan supaya usul memansuhkan lesen perjudian sukan diubah kepada skop yang lebih luas iaitu melibatkan semua jenis perjudiaan yang ada di dalam negara.

Wakil Tambun, Dr Khairuddin Abdul Malik ketika membahaskan usul yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS berkata, usul asal yang dikemukakan itu sepatutnya ditukar bagi mengelakkan PAS dilihat berat sebelah kerana hanya memfokuskan kepada judi sukan.

"Sepatutnya usul itu berbunyi agar PAS mendesak kerajaan mansuhkan judi sukan dan apa-apa sahaja lesen judi baru di samping memberhentikan semua perjudian yang sedia ada di semua peringkat.

"Ini akan menunjukkan bahawa kita bukan sahaja tidak berkompromi dengan judi sukan tapi semua jenis perjudian... ini sikap PAS agar kita tidak dilihat berat sebelah," katanya pada Muktamar PAS di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Usul asal Dewan Pemuda PAS yang ibentangkan oleh Ahmad Fadli Shaari ialah untuk mendesak kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi tetap mahu usul asal dibawa dewan itu dikekalkan.

"Sebenarnya kita memang ada perancangan untuk terus mendesak agar lesen perjudian ini dimansuhkan bukan sahaja bagi judi sukan, tapi untuk kali ini kita mahu ia dikekalkan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain