suria

Calon Bukan Islam PAS Akan Guna Logo Parti

KOTA BARU: PAS akan menurunkan calon bukan Islam dengan menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Bagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara berkenaan akan dilaksanakan mengikut persefahaman yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat.

"Majlis Syura Ulama telah membuat satu keputusan bahawa PAS boleh membenarkan calon bukan Islam bertanding menggunakan logo PAS berpandukan kepada konsep kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sudahpun meluluskan untuk mereka guna simbol PAS, malah pada pilihan terdahulu kita sudah letakkan calon bukan Islam bertanding di kerusi PAS namun gunakan logo PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahun PAS ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi calon bukan Islam itu akan dipilih di kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang juga merupakan sayap baru parti itu.

Jelas Abdul Hadi, kriteria yang ditetapkan bagi calon bukan Islam untuk bertanding atas tiket PAS ialah mesti menerima konsep dan perjuangan parti itu.

"Selain itu mereka mestilah bermoral tinggi dan berakhlak mulia... kita yakin mereka akan setia dengan perjuangan kita," katanya.

Ditanya sama ada calon-calon berkenaan akan dikenakan syarat tertentu seperti bai'ah sama seperti calon PAS sebelum ini bagi mengelakkan berlakunya lompat parti, Abdul Hadi berkata: "Kita akan sediakan ikrar perjanjian untuk mereka... tapi saya percaya mereka yang bermoral tak akan langgar ikrar ini, kita yakin mereka tak akan lompat parti."

Berhubung soalan sama ada tindakan PAS meletakan calon bukan Islam bertanding pada pilihan raya akan mewujudkan persaingan sesama rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, beliau berkata perkara berkenaan akan diputuskan secara bersama antara PKR dan DAP.

"Kita bertindak secara kolektif, sudah tentu kita ada persefahaman dalam soal ini.

"Kita akan bertanding di kawasan-kawasan yang tidak ditandingi PKR ataupun DAP," katanya.

Artikel Lain