suria

Pelan Tindakan Warga Emas Baru Diperkenal

KUALA LUMPUR: Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang lebih strategik dan berkesan dalam memelihara kebajikan warga emas akan diperkenalkan tidak lama lagi, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata kajian semula ke atas Dasar Warga Tua Negara 1955 dan Pelan Tindakan Warga Tua Negara 1998 khusus bagi menilai keberkesanan strategi yang digariskan dalam kedua-dua dasar dan pelan tersebut, sudah disiapkan April lepas. "Selain itu kementerian turut menilai semula impak terhadap program dan aktiviti yang dirancang serta memperbaiki hala tuju dasar dan pelan itu supaya selaras dengan dasar sosial dan ekonomi yang lain," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Ismail dalam soalannya ingin tahu adakah kerajaan bercadang mengkaji semula dasar dan pelan warga tua negara bagi mewujudkan dasar dan pelan yang lebih mantap kepada warga tua. Shahrizat berkata draf dasar dan pelan yang baru itu sudah dirangka dan sedang diperhalusi pihak kementerian sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

Katanya pada mesyuarat Majlis Penasihat dan Perunding Bagi Warga Emas 27 Mei lepas, kementerian menimbang tujuh bidang utama yang perlu diberi perhatian.

Ini termasuk jaminan kewangan, peluang pekerjaan, kesihatan, penjagaan dan perlindungan, persekitaran, pengangkutan awam dan jaringan keselamatan untuk warga emas yang miskin dan berkeperluan.

Majlis turut mencadangkan beberapa perkara lain berkaitan persaraan, insentif cukai bagi majikan yang menggaji warga emas, rawatan percuma katarak dan pergigian bagi warga emas miskin serta pindaan kepada Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membolehkan caruman penuh dibuat oleh mereka yang berusia 55 tahun ke atas dan masih bekerja.

Menjawab soalan tambahan Ismail berhubung cadangan memberi bantuan kewangan bulanan kepada warga emas, Shahrizat berkata pihak kementerian tidak mempunyai perancangan seperti itu.

"Semua mesti faham Malaysia tidak menjalankan pentadbiran berasaskan kebajikan yang beri bantuan kepada semua. Kebajikan terbaik adalah tentukan politik stabil, ekonomi yang mampan dan ada peluang kerja untuk semua termasuk warga emas.

"Kementerian juga juga ingin teruskan budaya di mana jika ibu bapa warga emas sudah tidak mampu untuk bekerja, maka tugas itu mesti dipikul bersama oleh anak-anak supaya ada kesinambungan dan usahasama antara kerajaan dan anggota keluarga untuk menjaga warga emas terutama ibu bapa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain