suria

Polis Lumpuh Kumpulan Tipu "Menang Hadiah SMS"

TAWAU: Polis telah mematahkan kegiatan satu kumpulan yang menipu orang ramai menerusi SMS dengan menjanjikan hadiah wang lumayan kononnya daripada syarikat besar tertentu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner (ACP) Ibrahim Chin berkata seramai 25 warga asing dan seorang wanita tempatan dipercayai anggota kumpulan itu diberkas di dua premis di sini oleh anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan dari Kepayan dan Tawau pada 29 Mei lepas.

Aktiviti kumpulan berkenaan dipercayai telah mengakibatkan orang ramai kerugian RM6.4 juta, katanya.

Ibrahim berkata modus operandi kumpulan itu ialah dengan menghantar SMS secara rawak kepada orang ramai dengan mengatakan penerima SMS itu memenangi hadiah daripada sebuah syarikat besar.

Penerima SMS itu kemudian diminta memberi nombor akaunnya serta diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya bagi memudahkan urusan penghantaran hadiah.

"Mana ada orang yang nak bagi duit semudah itu. Jika menerima SMS yang mengatakan mereka memenangi hadiah, abaikan sahaja SMS itu," kata Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain