suria

Mohd Saiful Ucap Selamat Bertanding Pada Anwar

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diriya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan selamat kepada bekas majikannya beberapa minggu sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Pulau Pinang diadakan.

Ucapan Mohd Saiful, 25, yang dibuat melalui blog miliknya pada 2 Ogos lalu berbunyi: “Pada DSAI, saya ucapkan selamat bertanding”.

Justeru itu, peguam utama Anwar, Karpal Singh menyatakan bahawa tindakan Mohd Saiful bersumpah di masjid dua hari sebelum penamaan calon, adalah dirancang dan bukan kebetulan seperti didakwanya.

Malah, soalan sama ada ia dirancang atau kebetulan berlanjutan beberapa kali sehingga pada satu peringkat Hakim Datuk Mohamed Zabidin Mohd Diah meminta Karpal untuk meneruskan perbicaraan dengan soalan lain.

“Dia (Mohd Saiful) sudah kata tidak (bukan dirancang) dan kamu kata ya dan saksi sekali lagi kata tidak. Sampai bila pun tak habis,” katanya.

Mohd Saiful mengangkat sumpah laknat dengan memegang Al-Quran pada 15 Ogos 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini mendakwa dirinya diliwat Anwar.

Meskipun diasak berkali-kali oleh Karpal, saksi utama perbicaraan tetap dengan keterangannya bahawa Anwar berada di unit 11-5-1, iaitu tempat kejadian didakwa berlaku dan bukan di unit 11-5-2 seperti dicadangkan peguam.

Mohd Saiful menambah, dia diminta ke unit 11-5-1 pada 26 Jun 2008 untuk menghantar dokumen kepada Anwar.

Saksi pada keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, juga menafikan cadangan Karpal bahawa keterangannya mengenai kejadian liwat yang didakwanya adalah tidak benar.

Terdahulu, Mohd Saiful mengakui pernah berbohong dalam hidupnya tetapi bukan dalam sumpah.

Mengenai perkahwinan adiknya, Saidati dengan Faiz Khairi, Mohd Saiful memberitahu dia mengenali Faiz dan tahu adiknya dibawa lari ke Thailand.

“Saya tahu mereka lari tetapi saya tidak dapat sahkan mereka telah berkahwin,” katanya. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan saksi, Karpal mengatakan bahawa saksi tahu mengenai perkahwinan itu dan mengingatkan saksi untuk tidak berbohong di mahkamah.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden kemudiannya membantah soalan itu kerana berpendapat ia tidak relevan.

Karpal berkata, tujuan soalan itu berkaitan dengan kredibiliti Mohd Saiful.

Hakim Datuk Mohamed Zabidin bersetuju dengan pihak pendakwaan.

Prosiding juga dijalankan secara tertutup selama 15 minit selepas Mohamed Zabidin membenarkan permohonan Karpal kerana melibatkan notis alibi Anwar.

Menurut Karpal, salinan notis alibi yang menyatakan Ketua Pembangkang itu tidak berada di tempat kejadian seperti didakwa telah diserahkan kepada pihak pendakwaan pada 19 Jun 2009.

Perbicaraan bersambung esok.

Anwar, 65, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Ogos 2008 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini.

Beliau dibicarakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel Lain