suria

PGM Wilayah Tiga Lancar Ops Octopus Khas

KEMAMAN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) akan melancarkan operasi khas bagi memantau pengusaha bot pelancongan yang mengabaikan aspek keselamatan ketika membawa pelancong ke pulau-pulau peranginan sempena musim cuti sekolah minggu depan.

Komander PGM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Saleh Mat Jani berkata, dalam 'Ops Octopus Khas' itu akan tertumpu di kawasan perairan pulau peranginan Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tenggol dan Pulau Perhentian.

"Kita tidak mahu pengusaha bot pelancongan begitu ghairah mengaut keuntungan semasa musim cuti sekolah nanti sehingga gagal menitikberatkan soal keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis tepung tawar kapal PA52 di Pangkalan PGM Wilayah Tiga di sini hari ini.

"Ia termasuk membawa penumpang melebihi syarat permit yang dibenarkan, tidak menyediakan jaket keselamatan serta pelampung," katannya.

Mohd Saleh berkata, pengusaha yang ingkar dengan peraturan yang ditetapkan itu akan dikenakan tindakan tegas termasuk dikenakan saman di bawah Ordinan Perkapalan 1952.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Mei lepas, PGM Wilayah Tiga telah mengesan sebanyak 20 kes kesalahan di bawah ordinan itu dan jumlah itu menurun berbanding 121 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, selain itu hasil rondaan dan operasi berterusan yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, sebanyak 128 tangkapan telah dilakukan melibatkan kesalahan dadah dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 14 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu beliau berkata, penambahan kapal PA52 yang berharga RM10.8 juta itu akan menguatkan lagi kekuatan PGM Wilayah Tiga yang merangkumi tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan kekuatan keanggotaan seramai 293 orang termasuk 24 pegawai.

"Setakat ini PGM Wilayah Tiga telahpun mempunyai lima buah kapal dan dengan penambahan kapal baru ini ia akan membantu meningkatkan lagi keupayaan pasukan dalam menjalankan tugas-tugas rondaan keselamatan sepanjang 12 batu nautika dari pantai," katanya.

Selain itu, katanya ia juga dapat digunakan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat serta operasi sepadu bersama agensi maritim yang lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain