suria

Abu Zahar Sifatkan Israel Tidak Bertamadun

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyifatkan tindakan rejim Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tidak bertamadun dan kejam.

Beliau berkata, rombongan Malaysia bersama-sama sukarelawan lain dalam misi ke Gaza adalah untuk menghantar bantuan atas dasar perikemanusiaan dan tiada kaitan dengan politik.

"Untuk kebaikan manusia sejagat, kita kenalah amalkan dasar menghormati dan sekiranya ada perbezaan boleh diselesaikan dengan perundingan. Tindakan yang dibuat oleh Israel itu memang tidak patut. Saya mengecam tindakan Israel itu yang tidak berperikemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China (CPPCC) Zhao Qizheng di pejabatnya di Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan mengecam dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Israel berhubung insiden itu.

"Apa salah mereka (diserang)? Mereka bukan tentera tetapi orang awam yang dengan niat hendak menghantar bantuan perubatan dan makanan kepada rakyat di Gaza. Saya menyeru PBB supaya melakukan tindakan yang berpatutan," katanya.

Pagi semalam, satu daripada sembilan kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza anjuran kumpulan pro-Palestin dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Turki, iaitu Mavi Marmara diserang tentera Israel berdekatan Gaza.

Dua rakyat Malaysia iaitu seorang wartawan dan seorang jurukamera Astro Awani dilaporkan berada di atas kapal dan nasib mereka masih belum diketahui.

Kira-kira 19 aktivis juga dilaporkan terbunuh dalam serangan oleh rejim Israel itu.

Sementara itu, Abu Zahar yang mengadakan perbincangan dengan Zhao Qizhing membincangkan pelbagai perkara antaranya pelancongan dan pendidikan serta meningkatkan kerjasama antara China dan Malaysia.

Turut serta dalam delegasi itu ialah anggota Jawatankuasa Hal Ehwal CPPCC Ma Shengrong dan Zhang Jiuhuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain