suria

Inspektor, Lans Koperal Bebas Tuduhan Rasuah

PETALING JAYA: Dua anggota polis, masing-masing berpangkat Inspektor dan Lans Koperal, hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang ejen perkapalan tujuh tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Rosdi Abu Hanipah, 35, dari Balai Polis Cawangan Trafik, Klang dan Lans Koperal Azizi Abu Zarin, 38, dari Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.

Kes itu telah menyebabkan kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu digantung tugas sejak 2003.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Marul Azhar Maamur sebagai dorogan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang menggunakan nombor plat palsu.

Rosdi didakwa meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada Marul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cawangan Trafik Klang pada 9.45 pagi, 29 Mei 2003 manakala Azizi menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada lelaki itu pada 10.50 pagi di tempat dan hari yang sama.

Azizi turut didakwa bersetuju menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada Marul melalui akaun bank di Am Finance Berhad, Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Shah Alam pada 3.50 petang, 6 Jun 2003.

Rosdi didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 manakala Azizi pula mengikut Seksyen 11(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 16 APR yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azuan Adzhar yang mengemukakan 15 saksi sepanjang prosiding itu.

Rosdi diwakili peguam Mohd Zackrie Mohamad manakala Azizi diwakili peguam Feisal Mustapha. - BERNAMA

Artikel Lain