suria

Warga India Didenda RM5,000 Miliki DVD Tidak Ditapis

KUALA LUMPUR: Seorang penjual DVD warga India hari ini didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki 1,839 keping DVD pelbagai tajuk yang tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, Sabtu lepas.

Majistret Siti Suriatey Mohamed Yussoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Washimali Kaleelraguman, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Washimali didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Hatiga (M) Sdn Bhd, G6 Plaza City One Condo, Jalan Munshi Abdullah di sini, pada 4.10 petang, 22 Mei lepas, mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen (6)(2)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

Peguam S.Narasimhan ketika meminta hukuman ringan berkata Washimali hanya berpendapatan RM600 dan perlu menanggung ibu bapa serta kakaknya yang terencat akal di Chennai, India.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri Mohammad Husaini Rosli. - BERNAMA

Artikel Lain