suria

Persepsi Penduduk Kelantan Terhadap Umno Dinilai Melalui Program Juara Rakyat

JELI: Penerimaan dan persepsi penduduk Kelantan terhadap Umno akan dinilai melalui program Juara Rakyat anjuran parti itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, penilaian itu akan dijadikan sebagai penanda aras untuk merangka persiapan Umno negeri bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Melalui program ini kita buat penilaian semula sama ada rakyat menerima baik atau tidak Umno di Kelantan tetapi selepas selesainya program itu di Jeli hari ini, kita nampak rakyat sebenarnya menerima baik kita (Umno)," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Jeli di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pada masa yang sama, 30 program Juara Rakyat turut diadakan di beberapa lokasi terpilih di Parlimen Jeli hari ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Beliau berkata, Umno turut menyediakan kaunter pendaftaran sebagai pengundi pada setiap program Juara Rakyat yang akan diadakan di semua kawasan Parlimen di Kelantan.

Pada majlis itu, Mustapa turut menyampaikan wang zakat daripada SME Bank sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada beberapa penduduk miskin bagi membantu membaiki rumah mereka yang uzur.

Turut hadir Pengarah Urusan SME Bank Datuk Azmi Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain