suria

Penjawat Awam Perlu Tunjukkan Kehebatan Luar Biasa - Najib

PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu menunjukkan kecergasan dan kehebatan luar biasa dalam tindakan yang dilakukan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana dalam tempoh tersebut akan menjadi penentu kepada kejayaan atau sebaliknya terhadap matlamat yang diimpikan itu.

"Jika dalam perlumbaan maraton, kita ini dah masuk last stretch, sebab 10 tahun saja lagi sebelum mencapai Wawasan 2020.

"Sebab itu, bila dalam maraton ini, kita dah dekat garis penamat ini, kita mesti pecut. Bukannya dah dekat dengan garis penamat, kita dah habis angin, tercungap-cungap.

"Tak boleh... 10 tahun akan datang ini adalah tahun di mana kita mesti menunjukkan kecergasan dan kehebatan yang luar biasa.

"Barulah kita berjaya," katanya dalam amanat pada majlis perhimpunan penjawat awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Ismail Adam dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.

Najib berkata misi kerajaan kini ialah membuat perubahan besar dan penjawat awam perlu melaksanakan dua momentum yang telah digariskan iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru.

Katanya langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk melahirkan kerajaan yang efektif yang dapat mengisi harapan dan jangkaan rakyat.

"Soal effective government mesti menjadi tanggungjawab kita bersama.

"Berkat kerjasama kita sebagai satu pasukan, pemulihan ekonomi negara dengan pengumuman saya telah buat semalam, suku pertama tahun ini, ekonomi kita melonjak 10.1 peratus. Satu peningkatan yang di luar jangkaan," katanya.

Najib berkata sektor awam yang menunjukkan prestasi yang baik akan diberi pengiktirafan kerana berjaya membuat perubahan yang boleh dibanggakan.

"Seperti pejabat Imigresen yang boleh mengeluarkan pasport antarabangsa dalam tempoh 1 jam, kita iklankan, sebab ini satu perubahan yang kita mesti banggakan.

"Saya bangga apabila saya dengar sektor awam kita boleh menghasilkan kerja seperti ini, saya berasa bangga sangat. Saya berasa bangga bahawa kita ada di kalangan penjawat awam yang berprestasi dan mempunyai komitmen yang tinggi," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata beliau mahu mengenal pasti agensi dalam sektor awam yang menunjukkan pencapaian luar biasa bagi diberi pengiktirafan sama ada diiklankan atau diberi ganjaran.

Beliau berkata terdapat cadangan untuk memberi ganjaran yang luar biasa kepada pemenang anugerah inovasi perkhidmatan awam pada tahun ini.

"Luar biasa hadiahnya, semua akan dapat. Jika jabatan, daripada Ketua Pengarah sampai ke bawah, semua akan dapat, bukan ketua sahaja," katanya.

Najib berkata dalam Model Ekonomi Baru, kerajaan menyasarkan pendapatan rakyat termasuk penjawat awam meningkat daripada purata USD7,000 kepada USD15,000 dalam tempoh 10 tahun.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu melihat pendapatan penjawat awam berada di tahap yang rendah.

"Saya tidak akan lupa sumbangan penjawat awam dan akan terus membantu... untung nasib penjawat awam akan sentiasa dijaga oleh pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata langkah dan perubahan yang dilakukan itu bagi memastikan tiada sesiapapun memperlekehkan Malaysia dan peluang beliau bertemu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama baru-baru ini menunjukkan bahawa kuasa besar itu mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin berjaya.

"Apabila saya dapat peluang berjumpa Barack Obama, jika dilihat Malaysia negara yang dianggap sebagai failing state, saya tidak fikir dia mengadakan bilateral dengan saya.

"Sebab saya mewakili Malaysia, satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dapat peluang bilateral dengan Presiden Barack Obama.

"... dan apabila saya dapat mengadakan bilateral, tidak bererti saya melutut kepada dia, seperti yang orang kata. No way, saya jumpa dia kerana saya mewakili negara yang berjaya dan semakin berjaya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain