suria

Umno Perlu Teruskan Perjuangan, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Umno akan meneruskan perjuangannya untuk membela nasib masyarakat Melayu negara ini.

"Kita mesti ingat Umno perlu teruskan perjuangan," katanya ringkas kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk "Leading Governance - A Reflection of the Malaysian Experience" sempena ulang tahun ke-50 Persatuan Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia (MAICSA) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapannya terhadap Umno menjelang sambutan ulang tahun ke-64 parti itu hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau juga akan menghadiri majlis sambutan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sempena Hari Umno itu, ibu pejabat parti akan mengadakan majlis sambutan yang akan dimulai dengan majlis pelancaran Kembara Bermotosikal ke Tanah Suci 2010 diikuti solat maghrib, bacaan Yassin, tahlil dan doa kesyukuran di Dewan Tun Razak 4, PWTC bermula 6.30 petang ini.

Ditanya sama ada beliau akan berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, Dr Mahathir berkata:"Tidak...saya tidak fikir yang saya dikenali di Sibu."

Pilihan raya kecil pada 16 Mei itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lepas akan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew, Wong Ho Leng dari DAP dan calon Bebas Narawi Haron. - BERNAMA

Artikel Lain