suria

Pemandu Teksi Indonesia Dipenjara 8 Tahun, 10 Sebatan

SHAH ALAM: Seorang pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan dengan rotan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki 889gm kanabis lima tahun lepas.

Hakim Dr Badariah Sahamid memerintahkan hukuman ke atas Irfan Putih, 35, dari Aceh, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 25 Februari 2005.

Irfan mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di jalan utama, Taman Kota Cheras, Batu 9, Kajang pada 6.30 petang, 25 Februari 2005.

Dia pada awalnya dituduh mengedar dadah itu yang memperuntukkan hukuman mati mandatori tetapi semalam mengaku bersalah selepas pertuduhan dipinda kepada memiliki.

Mahkamah diberitahu dadah itu ditemui di kawasan kaki tempat duduk pemandu teksi itu yang dipandunya semasa polis menahan kenderaannya itu di tepi jalan pada hari yang sama.

Dalam rayuannya, peguam yang mewakili tertuduh, Gurubachan Singh Johal, memohon hukuman ringan iaitu penjara antara enam hingga tujuh tahun kerana itu adalah kesalahan pertama Irfan dan dia juga telah menyesal dan pengakuan bersalahnya telah dapat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Peguam itu berkata, Irfan telah menanggung banyak penderitaan sejak melarikan diri dari Aceh dan datang ke Malaysia pada 2000 kerana dia bimbangkan nyawanya selepas bapanya dibunuh oleh tentera Indonesia.

Isterinya telah meninggalkannya dan meminta cerai selepas dia direman dan dua anak perempuannya kini dijaga ibunya yang berumur 70 tahun di Aceh, kata Gurubachan Singh.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin, bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam dan kesan penyalahgunaan dadah di negara ini dan meminta tertuduh dikenakan hukuman berat.

Dr Badariah berkata, mahkamah mengambil kira faktor rayuan tetapi pada masa yang sama perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman dijatuhkan perlu memberikan mesej kepada tertuduh dan bakal pesalah. - BERNAMA

Artikel Lain