suria

Umno Perlu Realistik Dan Sanggup Berubah - Najib

PHNOM PENH: Menjelang sambutan ulang tahun Umno ke-64 esok, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu agar parti itu bersikap realistik dan sanggup membuat perubahan.

Presiden Umno itu berkata kedua-dua perkara itu penting kerana rakyat bukan sahaja melihat parti itu daripada segi nilai sejarah sahaja tetapi juga kedudukannya masa kini dan masa akan datang.

Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Forum Perniagaan Kemboja-Malaysia berkata demikian ketika ditanya mengenai mesej utama beliau bagi sambutan ulang tahun Umno kali ini.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dan merupakan parti tunjang yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Dalam mengimbas usia Umno itu, Najib berkata 64 tahun merupakan suatu tempoh yang panjang dan lama.

"Malaysia berjaya disebabkan dasar yang didokong oleh Umno dan Barisan Nasional. Umno dan Barisan Nasional telah menyebabkan transformasi yang besar kepada negara," katanya.

Menurut Najib, Umno tidak boleh leka dengan faktor sejarahnya kerana rakyat menilai parti itu bukan berdasarkan faktor sejarah semata-mata tetapi juga sumbangan parti itu di masa kini dan masa akan datang.

"Umno mesti dinamik, segar dan bernafas baru," katanya.

Najib berkata jika Umno tidak melakukan perubahan, parti itu akan terdedah kepada beberapa kemungkinan seperti yang berlaku kepada parti-parti lain seusia dengannya. - BERNAMA

Artikel Lain