suria

Kastam Lumpuhkan Sindiket Seludup Arak Di Pelabuhan Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Bahagian Penguatkuasaan Kastam negeri di sini berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan pelbagai jenis arak ke negara ini dengan menggunakan dokumen import alat elektronik apabila menahan dua kontena di Pelabuhan NBCT di Butterworth, dekat sini.

Kontena yang berisi beribu-ribu botol arak pelbagai jenis itu ditahan dalam pemeriksaan Kastam hasil maklumat orang awam pada 28 April lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Kastam negeri R Mariappa berkata kontena itu kononnya mengandungi alat eletronik yang diimport sebuah kilang pembuat kain.

"Tetapi setelah kita menggeledah kontena itu, kami menemui 71,148 botol pelbagai jenis arak yang dianggar berharga RM309,198 dan jumlah cukai yang cuba dilarikan ialah sebanyak RM933,026.

"Antara jenis arak itu ialah bir, wiski dan wain. Kesemua arak disorok dalam kedua-dua kontena yang diikrar mengandungi "Polyster Chip For Film Processing" seberat 38 tan dan diimport dari negara Korea," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mariappa berkata berdasarkan kepada dokumen Borang Kastam 8, barangan itu dikatakan diimport oleh sebuah kilang pembuat kain dan setelah siasatan dijalankan, pengurusan kilang kain berkenaan tidak tahu menahu mengenainya.

"Kami percaya sindiket itu menggunakan dokumen dan alamat palsu bagi tujuan mengaburkan mata pihak berkuasa dan kami sedang mengesan seorang individu yang dipercayai dapat membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan. - BERNAMA

Artikel Lain