suria

Tindakan K'jaan P.Pinang Meterai MOU Tanpa Rujuk Penasihat Undang-Undang Dipertikai

PULAU PINANG: Tindakan kerajaan negeri memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pelaburan di Pulau Pinang tanpa merujuk kepada penasihat undang-undang negeri dipertikaikan oleh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Shahbuddin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata, tindakan itu dibimbangi akan memberikan kesan langsung kepada rakyat sekiranya berlaku kerugian dalam pelaburan tersebut.

"Saya bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam pelaburan itu nanti, ia akan memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang," katanya yang bangun mencelah pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Perdagangan dan Pengguna dan Hal Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abdul Kassim berkata, setiap MoU yang dimeterai anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri kerana keputusan terletak pada ahli lembaga syarikat.

"PDC bagaimanapun berhak untuk meneliti setiap isi kandungan MoU bagi setiap pelaburan," katanya.

Abdul Malek berkata, terdapat 12 MoU yang telah dimeterai oleh kerajaan negeri dalam usaha mengembangkan dan memacu ekonomi Pulau Pinang yang berteraskan hab halal. - BERNAMA

Artikel Lain