suria

Mayat Lelaki Dipercayai Warga Asing Ditemui Terapung

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing yang kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat, ditemui terapung di Tasik Setia Wawasan, Setia Alam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata mayat itu dijumpai oleh orang awam di tepi tasik berkenaan kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh dan dicampakkan ke dalam tasik itu sejak dua hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang sudah busuk.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua belah tangan mangsa diikat ke belakang manakala kakinya diikat bersama sebuah batu besar bagi memastikan tubuh mangsa tidak terapung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun, polis masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

Noor Azam berkata keadaan mayat yang sudah reput dan hitam turut menyukarkan polis untuk menjalankan siasatan.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berikut

36 Kes Baru H1N1

Artikel Lain