suria

Rayuan Kembalikan Saman RM218 Juta Terhadap Umno Ditolak

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pembekal, Elegant Advisory Sdn Bhd hari ini kalah dalam rayuannya untuk mengenakan kembali saman RM218 juta terhadap Umno yang didakwanya tidak membuat pembayaran bagi pembekalan bahan-bahan pilihan raya semasa pilihan raya umum 2004.

Hakim Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulong Matjeraie sependapat bahawa walaupun Pesuruhjaya Kehakiman Anantham Kasinater bertindak keterlaluan dalam melihat kepada merit kes itu, Mahkamah Rayuan bagaimanapun bersetuju dengan keputusannya untuk mengenepikan saman kerana tuntutan itu tidak menyatakan dengan jelas mengapa tindakan saman diambil. Baharudin juga memerintah supaya Elegant Advisory membayar kos RM5,000.

Pada 10 September tahun lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Umno mengenepikan saman itu kerana ia tidak mematuhi Akta Kontrak 1950.

Mantan bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada mulanya dinamakan sebagai defendan dalam kes itu, namun namanya kemudian diganti dengan bekas setiausaha pentadbiran dan kewangan Umno Datuk Ishak Abdul Rahman selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam saman itu tahun lepas.

Dalam writ samannya syarikat itu berkata ia terbabit dengan kegiatan membekal peralatan pilihan raya, pengangkutan serta penerbitan; dan pada pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004 pihaknya membekalkan Umno dengan pelbagai peralatan pilihan raya yang diperlukan.

Syarikat itu berkata ia menghantar invois RM218,013,475 untuk mendapatkan pembayaran, namun defendan gagal membayarnya.

Di luar mahkamah, peguam yang mewakili Umno Datuk Harun Hafarizam ketika ditemui pemberita berkata keputusan mahkamah rayuan itu sememangnya tepat.

"Saya selaku penasihat undang-undang Umno, berharap tidak ada lagi kes seumpama ini yang difailkan terhadap Umno. Umno sebagai sebuah parti sudah tentu akan membayar jika menggunakan sebarang perkhidmatan dan mendapat bekalan daripada pencetak-pencetak dan yang lain," katanya.

Sementara itu salah seorang peguam kepada syarikat berkenaan, Tarmizi Abdullah berkata pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya, untuk menimbang sama ada mahu menfail rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Lain