suria

Lelaki Terbunuh Bom Ikan Buatan Sendiri Meletup

PASIR MAS: Seorang lelaki terbunuh apabila sebutir bom ikan buatan sendiri meletup dalam satu kejadian di Sungai Danau, Kampung Pitok, Tok Uban di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.50 petang ketika mangsa Abdullah Hassan, 49, sendirian ke sungai itu menaiki perahu untuk menangkap ikan dengan cara menggunakan bom buatan sendiri.

"Tiba-tiba bom itu meletup di tangan sebelum sempat dibaling ke dalam sungai menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Haliludin akibat kejadian itu, tangan kiri mangsa hancur sama sekali manakala kedua-dua kaki hingga ke paras lutut cedera parah.

"Mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang keluar mencarinya dan dihantar ke Hospital Pasir Mas di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya.

Artikel Lain