suria

Rosmah Terima Anugerah Keamanan Dan Keharmonian Antarabangsa

NEW YORK: Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menerima Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika pada Jumaat malam.

Anugerah sebagai tanda pengiktirafan terhadap pelbagai kerja amal beliau dan bagi menghargai hubungan penting antara Malaysia dan Amerika itu disampaikan kepada Rosmah oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Lawrence Eagleburger pada majlis jamuan malam di St Regis Hotel di sini, yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak.

BCIU, yang ditubuhkan pada 1955 atas inisiatif White House, adalah sebuah badan berkecuali yang berorientasikan pencapaian serta menjadi pemudah cara dialog dan perikatan antara syarikat perniagaan dunia dan pemimpin politik.

Ketika menerima anugerah yang dicipta oleh pengukir terkenal Sergey Eylanbekov itu, Rosmah berkata beliau amat gembira kerana menerima anugerah berkenaan daripada sebuah pertubuhan yang mempunyai misi untuk memupuk persefahaman antarabangsa melalui hubungan rakyat dengan rakyat.

"Anugerah ini bukan saja akan memberi dorongan dan semangat kepada saya, tetapi juga orang lain, untuk terus berusaha bagi memperjuangkan perkara penting demi kebaikan mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata beliau sentiasa percaya bahawa "semua kita di sini dicipta dengan mempunyai tugas. Tuhan yang maha bijaksana mencipta setiap individu dengan tugas masing-masing."

"Saya berpendapat, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan dunia yang kita diami serta insaf tentang betapa bertuahnya kita dan dalam pada itu, berusaha untuk menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Rosmah, yang juga penaung Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia berkata sebagai ibu, perasaan beliau terguris setiap kali menonton berita dan membaca laporan tentang kanak-kanak yang ditimpa penderitaan bukan kerana kesilapan mereka, tetapi sama ada akibat peperangan dan sengketa, bencana alam atau angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sungguh memilukan apabila kehidupan kanak-kanak terganggu dan ada kalanya musnah sama sekali hanya dalam sekelip mata.

"Lebih meluluhkan perasaan apabila anda mengetahui bahawa ada kalanya, kanak-kanak begini, langsung tidak mendapat pertolongan serta dibiarkan menjalani kehidupan secara bersendirian dalam keadaan penuh ketakutan dan diragut potensi yang boleh mereka kembangkan sekiranya mereka diberi peluang yang sewajarnya," kata beliau.

Rosmah berkata atas kesedaran inilah beliau sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran getir dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan dan melaksanakan tugas amal kerana beliau tahu ada kanak-kanak yang memerlukannya.

Rosmah bergiat aktif dalam banyak pertubuhan dan menyandang pelbagai jawatan, termasuk sebagai presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (PENCINTA) dan Persatuan Thalasemia Malaysia, selain menjadi pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara. - BERNAMA

Artikel Lain