suria

Polis Nafi Laporan Serangan Tadika Berkaitan Ah Long

JOHOR BAHARU: Polis hari ini menyangkal laporan eksklusif sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa serangan ke atas tiga kanak-kanak di Tadika Sinario di Muar pada 10 Mac lepas mempunyai kaitan dengan kegiatan ceti haram atau 'ah long'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal memberitahu pemberita di sini hari ini, motif serangan itu belum dapat dipastikan kerana polis masih menyiasat kes tersebut.

Beliau juga berkata adalah tidak benar bapa kepada salah seorang kanak-kanak itu meminjam sejumlah wang yang besar daripada 'ah long'.

"Dia meminjam daripada bank, malah telah membayar balik kesemua pinjamannya," kata beliau.

Amer yang mengetuai pasukan khas bagi menjejaki penyerang itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut.

Pihaknya juga telah menghantar sampel DNA yang ditemui pada satu daripada empat tukul kepunyaan suspek keempat yang ditahan di Muar pada Jumaat lepas untuk ujian.

Beliau yakin keputusan ujian tersebut akan membantu siasatan dan mendedahkan motif serangan itu.

Amer turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi polis di talian 07-2212999 atu balai polis berdekatan.

Lelaki berusia 27 tahun itu berada dalam keadaan mabuk ketika ditahan dan polis menemui sebuah topi keledar, sehelai jaket berwarna kuning dan empat tukul ada padanya.

Pada 13 Mac lepas polis menahan tiga suspek dipercayai mempunyai kaitan terhadap serangan ke atas kanak-kanak tadika itu.

Suspek pertama ditahan di jambatan Bangunan Mara berhampiran Jalan Maharani pada pukul 12.20 tengah malam dan lelaki kedua di Jalan daud 10 minit kemudian, manakala suspek ketiga ditangkap di bandar Muar beberapa jam selepas itu.

Dalam kejadian di tadika itu tiga kanak-kanak berusia enam tahun iaitu, Nur Nadhirah Nabilah Mohd Yusri, Alex Tan Jia Yi, dan Vincent Tee Hui Seng, cedera di kepala akibat diserang dengan tukul besi oleh seorang lelaki.

Turut cedera seorang guru tadika tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain