suria

MTUC Dakwa Majikan Masih Potong Yuran Levi

PETALING JAYA: Majikan masih mengenakan potongan bayaran levi dari gaji pekerja asing walaupun kerajaan telah meminta mereka supaya menghentikan amalan itu, dakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata, sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, kerajaan telah menaikkan bayaran levi pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

Katanya, kerajaan juga mewajibkan yuran levi itu dibayar oleh majikan dan bukan oleh pekerja berkenaan berkuatkuasa April tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, pengumuman kerajaan itu tidak dilaksanakan kerana wujud kekeliruan sama ada Jabatan Imigresen atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Balasubramaniam berkata, MTUC telah banyak menerima aduan dari golongan pekerja asing yang mengadu majikan mereka masih mengenakan potongan gaji sebagai yuran levi.

Sebelum syarat ini, levi yang berjumlah antara RM360 untuk pembantu rumah hingga RM1,400 untuk pekerja asing dalam sektor pembuataan, dibayar oleh pekerja berkenaan secara ansuran bulanan.

Balasubramaniam meminta JTK meningkatkan langkah penguatkuasaan dan memastikan majikan memulangkan wang potongan yuran levi yang dikenakan terhadap pekerja mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah JTK, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamad berkata, pekerja yang dikenakan potongan gaji sebagai yuran levi perlu melaporkan kepada pejabat JTK berdekatan untuk bantuan.

"Langkah itu adalah bertentangan dengan undang-undang bagi majikan meneruskan potongan gaji pekerja kerana kami sudah memaklumkan kepada majikan terlebih dahulu menerusi pelbagai surat pekeliling," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain