suria

Kebakaran: KWSP Timbang Permohonan Ahli Keluar Wang Dari Akaun Dua

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mempertimbangkan permohonan ahlinya untuk pengeluaran wang dari akaun dua, ekoran kemusnahan rumah yang teruk akibat kebakaran, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, walaupun kebakaran tidak termasuk dalam istilah bencana, namun untuk membolehkan pengeluaran wang simpanan dari akaun dua KWSP, pemohon mestilah memperolehi pengesahan daripada pihak berkuasa.

"KWSP boleh mempertimbangkan pengeluaran pembelian atau pembinaan rumah kedua daripada ahli yang rumahnya terbabit dalam kebakaran tertakluk kepada pengesahan pihak berkuasa.

"Permohonan sedemikian pernah diluluskan KWSP sebelum ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu sama ada KWSP berhasrat untuk mengkaji semula perkataan bencana yang hanya melibatkan kejadian bencana alam seperti ribut, banjir, gempa bumi dan lain-lain yang mana kebakaran tidak diistilahkan sebagai bencana.

Katanya, selain memerlukan pengesahan dari pihak berkuasa seperti bomba dan polis, pengeluaran untuk pembinaan semula rumah yang musnah kerana terbakar juga bergantung kepada jumlah simpanan pemohon di dalam akaun dua tersebut.

"Pengeluaran yang boleh dibuat akibat kemusnahan rumah ini adalah berdasarkan nilai rumah yang perlu dibangunkan semula sekiranya sudah terbakar.

"Ia juga tertakluk kepada pengesahan pihak berkuasa bermaksud berapa nilainya dan kerosakan mesti menyeluruh sehingga rumah itu tak boleh guna..hancur. Jikalau dapur sahaja tak boleh," katanya.

Beliau bagaimanapun meminta KWSP supaya mempercepatkan proses permohonan pengeluaran wang dari akaun dua oleh mereka yang mengalami bencana. - BERNAMA

Artikel Lain