suria

Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 Dibentang

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dibentang di Dewan Rakyat hari ini dengan matlamat utamanya membanteras rasuah dan salah laku lain dalam sektor awam dan swasta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 27 fasal dan tujuh bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Untuk menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar, rang undang-undang itu menyediakan peruntukan bagi perlindungan orang yang membuat pendedahan yang digelar pemberi maklumat.

Fasal 7 rang undang-undang itu memberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil, jenayah dan perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.

Perlindungan itu turut diperluaskan kepada mana-mana orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan pemberi maklumat.

Menurut rang undang-undang itu, matlamat utama perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat ialah untuk menggalakkan pemberi maklumat tampil membuat pendedahan kelakuan tidak wajar dengan menyingkirkan apa-apa jenis kebimbingan atau risiko yang boleh menghalangnya daripada membuat pendedahan sedemikian.

Fasal 15 memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan untuk memfailkan permohonan kepada mahkamah atas permintaan pemberi maklumat untuk menuntut ganti rugi atau pampasan, injunksi atau apa-apa relif yang difikirkan patut oleh makkamah.

Fasal 19 pula memperkatakan tentang penempatan semula tempat kerja kepada pemberi maklumat atau mana-mana orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan pemberi maklumat itu melalui permintaan kepada agensi penguatkuasaan.

Agensi penguatkuasaan boleh memerintahkan apa-apa ganjaran yang difikirkan patut dibayar kepada pemberi maklumat bagi apa-apa pendedahan kelakuan tidak wajar atau apa-apa aduan tindakan yang memudaratkan sebagai tindak balas terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar.

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain