suria

Pekerja Kedai Emas Cerita Detik Diacu Pistol

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai emas hari ini menceritakan detik cemas ketika dia dan rakannya diacu dengan pistol oleh penjenayah yang merompak sebuah kedai emas di Plaza OUG di Puchong semalam.

Pekerja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, 20-an, berkata, seorang perompak itu berteriak dalam loghat Mandarin "tolong bagi kerjasama" sebelum mengacu pistol ke arah mereka.

Beliau berkata, ketika itu rakan perompak itu yang memegang sepucuk senapang patah yang dirampas daripada pengawal keselamatan kedai emas itu menghampirinya dengan membawa sehelai beg plastik.

"Kemudian dia mengarahkan saya supaya mengisi barang kemas seperti cincin dan gelang yang diletakkan dalam lapan dulang ke dalam beg plastik itu. Lima minit kemudian rakannya mengacukan pistol...kami semua terdiam," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Chin berkata, mereka kemudian terdengar satu das tembakan dilepaskan oleh pengawal keselamatan yang berada dalam bilik keselamatan kedai tersebut dan tembakan terkena badan perompak yang sedang mangaut barang kemas itu.

Katanya, perompak yang tertembak itu kemudian cuba melarikan diri bersama barang kemas itu tetapi dia rebah di hadapan sebuah restoran makanan ringan yang terletak bersebelahan.

Melihatkan rakannya sudah rebah, perompak yang memegang pistol itu kemudian merampas beg plastik yang mengandungi barang kemas yang bernilai RM500,000 itu dan menembak rakannya sendiri sehingga mati sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

Seorang pekerja restoran makanan segera yang mahu hanya dikenali sebagai Hafiz, 20, berkata, ketika kejadian beliau sedang bersiap-siap untuk memulakan tugas.

"Tiba-tiba saya melihat seorang lelaki terbaring berlumuran darah dan saya terus memanggil rakan sekerja lain. Beberapa orang pelanggan yang melihat kejadian itu bertempiaran lari menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain