suria

Peruntukan Urus Sekolah Tidak Dikurangkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menafikan peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran untuk menguruskan sekolah biasa dikurangkan berbanding peruntukan kepada program Permata Negara semasa pembentangan Bajet 2010.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menjelaskan peruntukan pada tahun 2010 bagi perkhidmatan teras Kementerian Pelajaran iaitu bagi operasi pendidikan rendah dan menengah tidak dikurangkan malah telah ditambah.

"Bagi pendidikan rendah, sebanyak RM10.13 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2010 berbanding sebanyak RM9.52 bilion pada tahun 2009.

"Manakala bagi pendidikan menengah pula, sebanyak RM8.8 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2010 berbanding RM8.32 bilion pada tahun 2009," katanya semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) yang inginkan penjelasan mengenai peruntukan yang diterima Permata Negara.

Katanya, bagaimanapun peruntukan mengurus keseluruhan yang disediakan kepada Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 berjumlah RM25.52 bilion iaitu berkurangan sebanyak 6.7 peratus atau RM1.83 bilion berbanding peruntukan yang disediakan pada tahun 2009 yang berjumlah RM27.35 bilion.

Ahmad Husni (BN-Tambun) berkata, pengurangan perbelanjaan mengurus kepada Kementerian Pelajaran dan agensi adalah untuk memastikan defisit fiskal negara lebih terkawal.

"Ia juga bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin fiskal di kalangan Kementerian Pelajaran dan agensi kerajaan supaya lebih efisien dalam mengurus peruntukan yang disediakan dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan-perbelanjaan yang mendatangkan manfaat secara terus kepada rakyat dan mengelakkan pembaziran," katanya.

Katanya, dalam Bajet 2010, kerajaan telah menyediakan peruntukan mengurus sebanyak RM100 juta kepada Permata Negara kerana kerajaan menyedari pentingnya untuk menyediakan pendidikan yang bersepadu dan terancang kepada kanak-kanak yang berumur empat tahun dan ke bawah.

"Ini adalah kerana pembentukan kanak-kanak pada peringkat awal ini sangat penting dalam menentukan kejayaan masa depan mereka," katanya.

Pada pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan Pertama, memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasakan program yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang itu.

Menjawab pertanyaan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai penajaan Telekom Malaysia (TM) terhadap pasukan bola sepak Inggeris, Manchester United (MU), Ahmad Husni berkata, penajaan antara TM dan MU mempunyai dua tujuan utama iaitu bagi tujuan pemasaran syarikat dan pembangunan bola sepak negara.

Katanya, mengikut kajian Taylor Nelson Sofres Sports UK, terdapat 4.2 juta peminat setia pasukan MU di negara ini.

"TM telah berjaya menjual lebih 1 juta kad panggilan prabayar iTalk edisi khas Manchester United Asia Tour sejak Julai 2009 dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM17 juta," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah penajaan antara TM dan MU kerana itu merupakan rahsia rasmi antara kedua-dua pihak tersebut.

Daripada segi pembangunan sukan, beliau berkata terdapat pandangan yang mengatakan kemenangan pingat emas pasukan bola sepak negara pada Sukan SEA di Laos tahun lepas ada berkaitan dengan perlawanan persahabatan yang diadakan bersama MU semasa siri Jelajah Asia.

"Ada pandangan yang mengatakan, oleh kerana pemain Malaysia dapat pendedahan semasa perlawanan persahabatan itu maka mereka mempunyai keyakinan dan menjadi antara salah satu faktor Malaysia menang di Sukan SEA," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain