suria

Maut Dilanggar Ketika Sedang Mengisi Minyak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang sedang mengisi minyak keretanya maut apabila dilanggar sebuah kereta yang terbabas akibat satu kemalangan di sebuah stesen minyak di Jalan Cheras, Taman Midah dekat sini Ahad malam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata mangsa, Mohd Yusri Abdul Wahab, 32, dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan disahkan meninggal dunia 2.15 pagi tadi akibat kecederaan parah di kepalanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa baru sampai ke stesen minyak itu dan kemudian keluar untuk mengisi minyak keretanya jenis Proton Iswara.

"Sedang mangsa mengisi minyak, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Hyundai Getz yang merempuh mangsa dan mengakibatkan mangsa cedera parah di keseluruhan badannya."

"Siasatan awal mendapati Hyundai Getz yang dipandu seorang perempuan berusia 23 tahun itu terbabas setelah terlibat dengan sebuah kereta di jalan raya berhampiran stesen minyak itu namun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Polis sedang mengambil keterangan dari pemandu kereta jenis Hyundai Getz itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Lain