suria

Polis Akan Soal Zulkifli Noordin Berhubung Tawaran Fitnah Najib

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan Anggota Parlimen Bebas Zulkifli Noordin berhubung pendedahannya di Dewan Rakyat semalam bahawa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata memandangkan ia satu maklumat terbaru yang diterima polis, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan sama ada pendedahan oleh wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu itu benar atau tidak.

"Sebagai prosedur siasatan satu-satu kes, kita akan memanggil mereka yang bertanggungjawab mendedahkan perkara itu bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri.

Musa berkata sebarang maklumat yang ada termasuk pendedahan itu akan dinilai dan digunakan bagi meneruskan siasatan sehingga kes itu dapat diselesaikan.

Semalam Zulkifli, yang juga bekas anggota Parti Keadilan Rakyat, mendakwa ditawarkan ganjaran yang, katanya boleh menggoyahkan iman, oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mengulas isu itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata siasatan berkenaan juga perlu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terdapat unsur dan rasuah dalam pendedahan itu.

"Pendedahan YB Zulkifli Noordin itu tidak boleh dipandang ringan biarpun ia diucapkan dalam Dewan Rakyat tetapi tidak bermakna seseorang Anggota Parlimen bebas membuat pendedahan tanpa sebarang bukti.

"Ia juga bagi membolehkan Ahli Parlimen berkenaan bertanggungjawab terhadap pendedahan yang dibuat dan bukannya berselindung di sebalik imuniti sebagai Anggota Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Rosnah berkata langkah itu juga bagi mengelak Dewan Rakyat dijadikan platfom untuk wakil rakyat membuat pendedahan demi pendedahan tetapi akhirnya terbiar dan tiada siasatan dan tindakan diambil. - BERNAMA

Artikel Lain