suria

Sebanyak 1,105 Kertas Siasatan Dibuka, 187 Individu Didakwa Sejak SPRM Ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,105 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 187 individu didakwa di mahkamah sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan pada 1 Jan 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 28 Februari lepas, SPRM telah mengemukakan sejumlah 268 laporan kepada ketua-ketua jabatan untuk tindakan tata tertib.

"Usaha mendapatkan kerjasama masyarakat Cina bagi membanteras rasuah dilaksanakan melalui dialog dan perbincangan awal dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zhong) pada 10 Feb 2010.

"Hasil perbincangan tersebut telah dipersetujui supaya SPRM negeri mengadakan perbincangan yang sama dengan gabungan pertubuhan tersebut di negeri berkaitan," katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini.

Tan meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan kes yang disiasat SPRM dan kes yang dibawa ke mahkamah sejak penubuhan suruhanjaya itu. Beliau juga ingin tahu mengenai prestasi usaha-usaha SPRM mendapatkan kerjasama awam seperti pertubuhan Cina dan tarikh laporan siasatan kes Teoh Beng Hock boleh diumumkan.

Mohamed Nazri berkata SPRM telah melaksanakan kempen-kempen dan pengiklanan yang agresif dalam media berbahasa Cina bagi mendapatkan kerjasama serta sokongan mereka dalam membanteras rasuah.

"Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, inkues berhubung kematian mengejut saksi SPRM iaitu mendiang Teoh Beng Hock masih lagi berjalan.

"Oleh itu dipohon Yang Berhormat supaya bersabar sehingga mahkamah membuat keputusan," katanya.

Beliau turut menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) berhubung locus standi anggota panel penasihat SPRM yang membuat ulasan terbuka mengenai kes yang sedang disiasat sehingga menyebut nama individu terbabit.

Katanya SPRM sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan suruhanjaya tersebut telah pun memanggil dan mengingatkan anggota panel penasihatnya bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain