suria

Zahrain Wajar Pecah Tembelang - Penganalisis Politik

PETALING JAYA: Tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim semalam mendedahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008 semasa sidang Dewan Rakyat adalah wajar.

Bagaimanapun penganalisis politik berpendapat, Dewan Rakyat bukan medan yang ideal untuk berbuat demikian.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusof berkata, adalah tidak salah dari segi peraturan mesyuarat dewan bagi bekas pemimpin PKR itu berbuat demikian.

Katanya, tetapi tindakan itu menjadikan Dewan Rakyat bagaikan 'pasar' apabila wakil-wakil rakyat berbalas tuduhan serta kritikan tentang sesuatu isu.

"Dewan bukan tempat untuk saling menuduh personaliti serta mendedahkan masalah. Ia telah lari daripada landasan sebenar.

"Sepatutnya dewan merupakan tempat menghasilkan undang-undang dengan berdasarkan penyelidikan. Balik kepada fungsi asalnya untuk serlahkan isu rakyat, berdebat soal rakyat dan bukannya mensensasikan isu," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Semalam, Zahrain mendedahkan bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi.

Beliau berkata, Anwar turut mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan mendakwa kononnya Seri Paduka pada satu ketika pernah menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah Ahli Parlimen BN yang melompat parti bagi menyertai pembangkang.

Dakwanya, Ketua Pembangkang itu mengakui kononnya bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menyokong pelantikan tersebut.

Pendedahan itu menyebabkan Anwar dan beberapa ahli Parlimen pembangkang lain meninggalkan sidang dewan.

Dalam pada itu Mohammad Agus yang juga mempersoalkan kenapa Zahrain perlu menunggu sehingga dua tahun untuk menceritakan kisah sebenar.

"Secara prinsipnya, lompat parti itu sudah salah, ia seperti kudeta. Ikutkan perlembagaan, sepatutnya rampasan kuasa dibuat secara demokratik," katanya.

Ekoran kejutan yang dibuat Zahrain itu, beliau menyifatkan politik Malaysia telah sampai ke satu tahap yang dipenuhi dengan dendam.

Sementara itu, Penyandang kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata secara prinsipnya, Zahrain sebagai Ahli Parlimen serta individu yang rapat dengan pucuk pimpinan PKR adalah wajar serta paling layak untuk 'membuka pekung di dada' parti pembangkang itu.

"Segala janji yang ditaburkan selama ini adalah pembohongan kalau benar apa yang diperkatakan oleh Zahrain.

"Orang politik barangkali boleh memandang enteng pembohongan sebegini tetapi ia adalah refleksi yang amat buruk kepada ahli-ahli politik. Ini bukan janji tetapi pembohongan," katanya.

Zainal yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan UPSI memberitahu, dari segi prinsip, etika dan moral, pembohongan sedemikian adalah suatu kejahatan.

Katanya, ini menggambarkan kepentingan peribadi individu terbabit mengatasi segala-galanya.

"Rakyat negara ini perlu melihat perkara ini secara serius. Kita tidak patut menyerahkan kekayaan serta kepentingan negara kepada pihak yang pentingkan diri sendiri," katanya.

Artikel Lain