suria

Dua Pelajar Lemas Selepas Dihanyutkan Arus Semasa Meredah Sungai

KUALA KRAI: Dua kanak-kanak ditemui mati lemas kira-kira lima jam selepas mereka dilaporkan hilang semasa mengharungi Sungai Lebir, di Kampung Pemberian, dekat sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Abdul Rahman Jaafar berkata mayat Wan Mohd Suzaimi Wan Ali dan Mohd Afran Mustapha, kedua-duanya berumur 13 tahun, dijumpai tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditemui selepas gerakan mencari dijalankan dengan kerjasama polis, bomba serta penduduk kampung, dan mayat kedua-duanya kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah diasat.

Wan Mohd Suzaimi merupakan pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pahi, manakala sahabatnya Mohd Afran adalah pelajar Sekolah Sultan Yahya Petra 1 Kuala Krai.

Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi tadi, kedua-dua mereka dikatakan bersama enam sahabat yang lain meredah sungai itu yang jaraknya 500 meter dari tebing, dengan cara berjalan kaki kerana airnya cetek.

Beliau berkata mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Karangan.

"Sebagaimana biasa kebanyakan penduduk kampung berkenaan menyeberangi sungai itu secara mengharunginya kerana air cetek pada musim kemarau ketika ini," katanya.

Bagaimanapun menurutnya Wan Mohd Suzaimi dikatakan tiba-tiba hanyut dibawa arus dalam keadaan tenggelam timbul kerana beliau tidak tahu berenang, dan rakannya Mohd Afran dikatakan cuba menolong, tetapi turut dibawa arus.

Mayat kedua-dua mereka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Manjong, malam ini. - BERNAMA

Artikel Lain